5.00 petang
Seperti hari sebelumnya, aku lebih suka menghabiskan sisa petang dengan menikmati secawan kopi hitam panas. Seorang diri. Pada mulanya pelayan mencatitkan apa yang aku pesan. Tetapi selepas beberapa hari, dia sudah biasa dengan pesanan aku. Seperti biasa, secawan kopi hitam panas. Sahaja.
Aku lebih gemar memilih di sudut hujung kedai kopi itu yang terdapat sebuah meja kecil dan dua buah bangku. Selesa bagi aku di situ. Sudutnya kurang mendapat perhatian orang. Tetapi mendapat perhatian aku. Aku selesa bila tiada orang perasan kehadiran aku di kedai kopi ini melainkan pelayan kedai ini.
Selain menikmati secawan kopi hitam panas, aku biasanya membawa sebuah buku cerita alternatif. Selepas satu, ke satu yang lain. Bertukar-tukar tajuk.
Aku juga tidak lupa membawa nota kecil bersaiz poket dan sebatang pen hitam yang dakwatnya kadang putus-putus. Di nota kecil ini aku mencatitkan segala yang ku rasakan penting yang terjadi dalam hidup ini. Aku dapati kebanyakannya tentang engkau. Engkau lagi?
6.27 petang
Aku meninggalkan dua keping not satu ringgit Malaysia, sekeping syiling lima puluh sen dan dua keping syilling sepuluh sen. Lalu aku meninggalkan kedai kopi itu bersama dengan moment yang tak seberapa di kedai kopi ini.
No comments:
Post a Comment